Monday, October 8, 2012

Aku Nak Kaya


Aku tak mahu KAYA?!
Oleh: Irfan Khairi
Ikuti artikel Irfan Khairi di Metro Ahad, Majalah M setiap minggu!
Percaya atau tidak sekiranya saya kata, kebanyakan kita yang tidak kaya adalah berpunca dari sebab sindrom 'tak mahu  kaya'? Ok, apa maksud saya?
Maksud saya adalah, jauh di sudut minda kita, mempunyai apa yang dikatakan sebagai "penghalang kekayaan" dan penghalang ini biasanya di bawah kesedaran kita. Kita tidak sedar, tetapi, ianya tetap ada.
Saya teringat ketika saya kecil satu masa dulu, makcik di kampung sering sebut, "Duit banyok pun tak boleh bawok kubo"  (sah orang Perak!) di alih lorat Perak menjadi "Duit banyak pun tak boleh di bawa ke kubur".  Ketika membesar, sering menoton TV cerita-cerita superhero seperti Superman dan Spiderman, di mana watak jahat pastinya orang yang kaya raya, tamak, sombong dan bongkak. Di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah pula, kawan-kawan (dan saya juga- pengakuan!) sering mengejek 'anak orang-orang kaya'.  "Eleh, tengok anak orang kaya tu... macam bagus!" . Tak membantu juga, apabila dewasa membaca akhbar, sering kisah jenayah kolar putih terpapar meibatkan wang berjuta dicuri akibat ketamakan wang.
Apa yang terjadi adalah, tanpa disedari berbagai-bagai tanggapan negatif mengenai kekayaan telah masuk ke minda kita yang menjadi penghalang kekayaan. Sejak kita kecil hingga hari ni, berbagai-bagai kisah negatif wang melanda minda kita. Bukan hendak kata tiada yang positif mengenai wang masuk ke minda kita, tetapi sering kali sesuatu yang negatif itu lebih memberi impak kepada pemikiran kita.
Keadaan ini akan membuatkan kita takut pada wang, tak mahu bercakap tentang wang, dan sehingga tidak mahu ambil tahu perihal pengurusan kewangan. Buktinya, tidak ramai yang membincangkan perihal kewangan dan matlamat kewangan bersama keluarga. Ada juga keluarga yang menganggap topik 'wang' sebagai seuatu yang pantang disebut!
Walaupun jauh disudut minda, perasaan ini akan menghalangkan kita mencapai matlamat kewangan kita. Apa yang terjadi adalah, kita sendiri telah mengsabotaj diri kita sebelum berusaha. Sebelum melakukan sesuatu untuk menambah baik kewangan, suara dalam diri sudah berbunyi "Eh... tak baik cakap pasal wang", "Eh... buat apa buat duit banyak-banyak, bukan boleh bawak kubur", "Eh... nanti buat duit banyak, apa pulak orang kata". Maka, langkah pertama pula tidak di ambil tanpa disedari.
Tetapi, ada juga yang berjaya dalam kewangan, mendapat pendapatan yang baik, tetapi entah kenapa, hujung bulan tidak kira berapa pendapatan yang dapat, baki di bank hanya cukup-cukup makan sahaja. Atau sampai satu tahap, ia tidak naik-naik. Anda pernah merasakan keadaan ini?
Ini juga adalah akibat kita sabotaj diri sendiri. Kita telah mengaitkan mempunyai lebih wang sebagai sesuatu yang negatif. Sesuatu yang tidak patut kita punyai. Dan sesuatu yang tidak boleh usahakan lebih. Dan semua ini berlaku tanpa kita sedari - kita tidak mahu kaya!